~harapanku~

::Sesungguhnya Hidupku dan Matiku hanya untuk Mu::

Mari beramal

Buktikan Cinta Kita

Mari kita membuktikan cinta kita kepada Allah dengan banyak membaca al-Quran dengan hati yang ikhlas demi mengambil manfaat daripada ajarannya. Kita gunakan peluang yang ada untuk membaca al-Quran dan istiqamah sehingga ke akhir hayat. Allah pasti menilai usaha kita malah mengampuni dosa kita yang lampau jika kita terus mencintai-Nya.

Menyedari kelemahan dan kekuranganyang lampau, marilah kita kembali menghayati ajaran Islam dengan mencintai Allah, mencintai rasul dan al-Quran. Setelah itu cintailah sesama umat Islam terutama pemimpin. Hal ini kerana Allah mencintai umat Islam yang bergerak dalam satu barisan kepimpinan yang hampir kepada Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".
(surah al-Saff; 61:4)

Persoalan sekarang, berapa umat Islam yang membaca ayat al-Quran dan dapat memahami mesej daripada Allah. Barangkali ramai yang membaca tidak seperti membaca surat cinta. Baca sambil lewa, asalkan boleh khatam segera. Mungkin dalam bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sekali khatam, tetapi mesej daripada ayat-ayat cinta itu tidak pernah dikhatamkan. Jadi, bagaimana umat Islam boleh hidup seperti yang digambarkan oleh Allah? Apatah lagi yang langsung tidak membaca al-Quran.

Sememangnya kita membaca al-Quran setiap hari ketika solat iaitu al-Fatihah dan beberapa ayat yang sudah dihafal. Sebenarnya bacaan al-Quran dalam solat tidak termasuk dalam bacaan al-Quran dalam konteks di atas.

Oleh sebab itu, setiap kali selepas solat perlu diisi dengan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat. Selepas itu bacalah terjemahan dan tafsirnya untuk mengambil pengajaran daripada mesejnya. Jika diberi peluang, hadiri kelas atau kuliah tafsir di masjid atau surau setempat.

Sebenarnya umat Islam mempunyai masa untuk membaca al-Quran, selepas solat fardu atau sunattentu ada lima atau sepuluh minit yang terluang. Tetapi kenapa tidak digunakan masa itu untuk membaca al-Quran?

Selain itu, sama ada ketika bekerja di pejabat atau kerja sendiri, pasti ada masa rehat. Mengapa peluang itu tidak digunakan untuk membaca al-Quran?? Kalau waktu rehat itu kita gunakan untuk berbual kosong, tentu banyak faedahnya kalau kita gunakan waktu itu untuk membaca al-Quran....

wallahualam.....

Tips menutup aurat

Menutup aurat adalah perintah Allah s.w.t. Anjuran ini hakikatnya turut melibatkan lelaki, namun perintahnya amat kritikal ditekankan kepada wanita memnadangkan lebih ramai wanita yang tidak menutup aurat berbanding lelaki. Tambahan pula fitnah wanita itu lebih besar.

Di bawah disertakan beberapa kaedah praktikal menjadi Muslimah yang prihatin dengan penampilan dirinya di hadapan ajnabi :

  1. TAHU. Langkah pertama ialah ilmu. Penting bagi Muslimah mengetahui batasan aurat, ciri-ciri pakaian yang menutup aurat, siapa mahram dan siapa ajnabi, hukum-hukum berkenaan aurat dan sebagainya.
  2. SEDAR bahawa tuntutan syariah ini amat perlu dan penting untuk dilaksanakan sesempurna mungkin. Jangan sambil lewa dan acuh tak acuh. Soal halal haram adalah perkara besar.
  3. SYIAR. Setiap agama ada imejnya. Imej wanita Muslimah dapat dikenali melalui ciri-ciri pakaian yang menutup aurat.
  4. FUNGSI CERMIN. Sebelum melangkah keluar rumah dengan yakin, tanyalah cermin, "Wahai cermin, adakah hari ini aku berpakaian menutup aurat?" Jawapannya perlu dijawab berdasarkan ciri-ciri pakaian yang mematuhi syariah.
  5. ASINGKAN pakaian kepada dua kriteria; sesuai atau tidak sesuai dipakai di hadapan ajnabi. Pakaian yang seksi misalnya, masih boleh dipakai tetapi hanya apabila bersendirian di dalam bilik atau di hadapan suami.
  6. MALU. Wanita yang tidak biasa mendedahkan auratnya di hadapan lelaki ajnabi akan berasa malu, takut, gelisah dan sebagainya walau sekadar bermimpi tidak bertudung.
  7. Bersahabat dengan WANITA YANG SOLEHAH boleh menguatkan pendirian dan langkah seseorang wanita yang ingin berusaha mengubah penampilan kepada penampilan yang patuh kepada syariah.
  8. EKSKLUSIF. Semua wanita itu cantik. Jika tidak manakan wanita menjadi senjata iblis melemahkan kaum lelaki. Namun kecantikan dan keindahan tersebut Allah kurniakan sebagai milik eksklusif wanita itu dan suaminya sahaja. Oleh sebab itu, usah dipertontonkan aurat dan perhiasan kepada umum secara percuma, jika suami pun perlu membayar mahar untuk memilikinya.
  9. BANYAK MANFAAT. Wanita yang menutup aurat hakikatnya akan melangkah keluar rumah dengan lebih yakin dan selamat. Mereka tidak perlu risaukan mata liar yang memandang, tidak perlu ambil kisah gaya rambut, tidak perlu berhabis duit untuk aksesori itu dan ini.

Makin dekat kiamat, makin jauh daripada Allah?

Ciri-ciri orang bertaqwa dan betul-betul mencintai Allah makin pupus. Ini gara-gara gaya hidup yang sudah berubah. Berubah agar dapat menyesuaikan diri dengan zaman dan seisinya.

Kebanyakkan kita kini lebih mementingkan kehendak dan keperluan fizikal semata-mata. Belajar, bekerja, berbuat baik malah memberikan senyuman pun kerana kepentingan peribadi. Manusia semakin alpa bahawa kita masih ada satu sisi lagi yang perlu disuap. Bukan perut dan minda sahaja yang perlu makanan. Malah spiritual yang lebih utama perlu disuap. Solat pula hanya pergerakan fizikal, hatinya pula mengembara entah ke mana. Apabila berpuasa, hanya perut yang berpuasa. Natijahnya, ibadah itu hanya sekadar ritual.

Waktu untuk melihat manusia sibuk pada waktu malam merayu sebuah keampunan daripada Allah seolah-olah sudah luput. Manusia menghabiskan malam-malamnya untuk berhibur, tidur dan mimpi indah. Bukan lagi tidur awal, bangun Qiamullail dan berjemaah subuh semata-mata memenangi cinta Allah. Yang tinggal hanyalah keriuhan kedai makan pada waktu malam, mula tidur pada saat orang mukmin sepatutnya bangun bertahajud dan membiarkan waktu subuh berlalu begitu sahaja. Berapa ramai orang yang sudah lama tidak melihat matahari terbit atau menikmati saat itu. KITAKAH ITU??

Sungguh, hati kita kering daripada cinta. Cinta kepada-Nya. Apakah apabila makin dekat dengan kiamat, makin jauh manusia daripada Allah? Nauzubillah!! Moga Allah kurniakan kita cintakepada-Nya...