~harapanku~

::Sesungguhnya Hidupku dan Matiku hanya untuk Mu::

Buktikan Cinta Kita

Mari kita membuktikan cinta kita kepada Allah dengan banyak membaca al-Quran dengan hati yang ikhlas demi mengambil manfaat daripada ajarannya. Kita gunakan peluang yang ada untuk membaca al-Quran dan istiqamah sehingga ke akhir hayat. Allah pasti menilai usaha kita malah mengampuni dosa kita yang lampau jika kita terus mencintai-Nya.

Menyedari kelemahan dan kekuranganyang lampau, marilah kita kembali menghayati ajaran Islam dengan mencintai Allah, mencintai rasul dan al-Quran. Setelah itu cintailah sesama umat Islam terutama pemimpin. Hal ini kerana Allah mencintai umat Islam yang bergerak dalam satu barisan kepimpinan yang hampir kepada Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".
(surah al-Saff; 61:4)

Persoalan sekarang, berapa umat Islam yang membaca ayat al-Quran dan dapat memahami mesej daripada Allah. Barangkali ramai yang membaca tidak seperti membaca surat cinta. Baca sambil lewa, asalkan boleh khatam segera. Mungkin dalam bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sekali khatam, tetapi mesej daripada ayat-ayat cinta itu tidak pernah dikhatamkan. Jadi, bagaimana umat Islam boleh hidup seperti yang digambarkan oleh Allah? Apatah lagi yang langsung tidak membaca al-Quran.

Sememangnya kita membaca al-Quran setiap hari ketika solat iaitu al-Fatihah dan beberapa ayat yang sudah dihafal. Sebenarnya bacaan al-Quran dalam solat tidak termasuk dalam bacaan al-Quran dalam konteks di atas.

Oleh sebab itu, setiap kali selepas solat perlu diisi dengan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat. Selepas itu bacalah terjemahan dan tafsirnya untuk mengambil pengajaran daripada mesejnya. Jika diberi peluang, hadiri kelas atau kuliah tafsir di masjid atau surau setempat.

Sebenarnya umat Islam mempunyai masa untuk membaca al-Quran, selepas solat fardu atau sunattentu ada lima atau sepuluh minit yang terluang. Tetapi kenapa tidak digunakan masa itu untuk membaca al-Quran?

Selain itu, sama ada ketika bekerja di pejabat atau kerja sendiri, pasti ada masa rehat. Mengapa peluang itu tidak digunakan untuk membaca al-Quran?? Kalau waktu rehat itu kita gunakan untuk berbual kosong, tentu banyak faedahnya kalau kita gunakan waktu itu untuk membaca al-Quran....

wallahualam.....

0 comments:

Post a Comment